Sunday, April 5, 2009

Hati saya ada dalam Umno: Tun Dr Mahathir Mohamad






:
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyertai semula Umno hari ini berkata hati beliau tetap bersama Umno selama berada di luar parti hampir setahun lalu.
Bekas Presiden Umno itu berkata, tegurannya terhadap parti selama itu adalah untuk membina dan bukannya untuk menghancurkan parti.
"Walaupun berada di luar Umno, hati ada dalam Umno," katanya kepada pemberita di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini, tengahari tadi.
Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bersama anak mereka, Datuk Mokhzani, menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dua lagi anak Dr Mahathir iaitu Datuk Mukhriz dan Datuk Mirza turut hadir pada majlis itu.
Dr Mahathir keluar Umno pada 19 Mei tahun lalu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Mengenai kaitan penyertaan semula beliau dalam Umno semasa pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan kini semasa pentadbiran anak Perdana Menteri kedua itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata:
"Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan".
Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno di zaman pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, pada 26 September 1969 kerana mengkritik kepimpinan Presiden Umno itu.
Beliau diterima masuk semula Umno pada 1972.
Ditanya peranan yang akan dimainkan beliau kelak, Dr Mahathir percaya seseorang pemimpin harus membantu Umno selepas bersara dan bukannya berpisah dengan Umno.
Mengenai jawatannya dalam Umno atau kerajaan kelak, Dr Mahathir berkata: "Tak payah".

No comments:

Post a Comment

Jejak komentar